Friday, September 17, 2010

BICARA PENDIDIKAN: Sekolah Berkesan




Sekolah Berkesan : Perspektif Sekolah Berkesan Dan Kesesuaian Dengan Pendidikan Di Malaysia

Budiman b. Sahali
(Dip P.M., B.Ed., M.Ed.)


ABSTRAK
Konsep sekolah berkesan merupakan salah satu cara untuk menilai dan menarafkan kejayaan sekolah dalam memainkan peranannya sebagai institusi pendidikan setempat.  Kefahaman dan harapan masyarakat yang berbeza-beza dalam mendefinisikan istilah kejayaan dan keberkesanan sekolah telah mengundang polemik di kalangan ahli pendidikan.  Peter Mortimore (1986) telah mengemukakan pandangan beliau dalam mentakrifkan keberkesanan sekolah berdasarkan kajian ke atas faktor-faktor yang terdapat pada sekolah yang dianggap berkesan.  Walau bagaimanapun banyak kajian susulan telah dilakukan berlandaskan pandangan beliau di mana sebahagian hasil kajian didapati menyokong dan sebahagian lagi membuktikan bahawa masih ada faktor-faktor lain yang perlu untuk diketengahkan.  Dalam konteks pendidikan di Malaysia pula didapati bahawa sebahagian aspirasi pendidikan negara yang dianggap penting tidak diberi perhatian sewajarnya oleh beliau.  Secara keseluruhannya didapati bahawa pandangan beliau terhadap keberkesanan sekolah dalam konteks pendidikan di Malaysia masih belum sempurna namun masih boleh diimplementasikan secara adaptasi.

Pengenalan
Sekolah pada hari ini dilihat sebagai satu medium untuk mendapatkan ilmu dan maklumat.  Selain daripada mendapatkan pendidikan dan asuhan, sekolah juga dilihat sebagai suatu pusat kecemerlangan setempat.  Perkataan sekolah digunakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi merujuk institut pendidikan yang menyediakan pendidikan rendah dan menengah (Institut Aminuddin Baki, 2006).  Kejayaan sekolah merupakan agenda penting dalam pendidikan sejagat termasuklah negara kita.  Salah satu perspektif yang digunakan bagi mengukur kejayaan sekolah adalah dengan melihat keberkesanan sekolah itu sendiri.  Walaupun ada pendapat yang menyatakan bahawa perbincangan mengenai sekolah berkesan telah mulai luntur dan diganti dengan ‘sekolah berkualiti’, namun hingga kini istilah sekolah berkesan masih mendapat tempat di negara ini.  Jika dilihat dalam konteks negara kita, sekolah berkesan telah membawa suatu fenomena di mana semua sekolah mempunyai peluang yang sama rata untuk mencapai taraf ‘berjaya’.  Ini adalah kerana konsep sekolah berkesan adalah berkait rapat dengan kepuasan hati semua pihak dan persaingan bagi mendapat tempat teratas bukan lagi menjadi kriteria penting. 

Perkataan sekolah berkesan merupakan suatu istilah yang telah diguna pakai pada asalnya bagi menggambarkan sekolah yang mempunyai pencapaian kejayaan yang melebihi sasaran dalam bidang akademik (Ishak Sin, 2004).  Jemaah Nazir Persekutuan pula mendefinisikan sekolah berkesan berdasarkan pendapat Edmond (1979) iaitu memberi fokus pengajaran yang dinyatakan dengan jelas dan menggunakan penilaian dan penaksiran yang sistematik.  Kebanyakan pengkaji di United Kingdom (UK) mengukur keberkesanan sekolah berdasarkan output yang terhasil daripada pemboleh ubah proses dan konteks manakala kebanyakan pengkaji di Amerika mengukur keberkesanan sekolah berdasarkan output iaitu pencapaian dalam ujian standard.  Oleh sebab sistem pendidikan di Malaysia masih cenderung kepada model dan sistem pendidikan UK maka kebanyakan kajian dan fahaman kita bagi mengukur keberkesanan sekolah juga adalah bersandarkan kepada output proses dan konteks yang ditunjangi oleh sistem pendidikan UK.

Lippitz (1984) telah mentakrifkan sekolah berkesan sebagai "sekolah yang selamat dan teratur di mana kanak-kanak miskin dan kelas pertengahan mendapat pencapaian akademik yang baik" (Hare, 1988).  Manakala Felsenthal (1982) pula mentakrifkan sekolah berkesan apabila majoriti pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam pada peringkat kebangsaan. Menurut Levine dan Lezotte (1990), ukuran sekolah berkesan yang telah digunakan oleh kebanyakan penyelidik ialah pencapaian dalam mata pelajaran tertentu seperti matematik, sains atau bahasa, kehadiran sekolah dan kepuasan pelajar.  Di sini kita dapat melihat berbagai-bagai definisi bagi sekolah berkesan mengikut fahaman, kajian dan falsafah masing-masing. 

Dalam memperkatakan tentang konsep sekolah berkesan juga, Astin (1985) menyatakan bahawa konsep keberkesanan sekolah juga tidak seharusnya mencakupi kejayaan akademik semata-mata tetapi juga perkembangan intelektual dan kendiri para pelajar serta kesesuaian kurikulum dengan keperluan pelajar.  Namun keberkesanan sekolah mempunyai berbagai-bagai pengertian disebabkan berbagai-bagai pihak (guru, murid, ibu bapa, komuniti) mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang mereka kehendaki daripada sekolah (Sharifah, 2000).  Brookpver dan Lezotte (1979) serta Broojkover (1979) telah meletakkan ukuran asas sekolah berkesan sebagai tanda, iaitu memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran asas di kalangan pelajar, jangkaan tinggi terhadap pelajar, kepemimpinan pentadbiran yang baik, pemantauan tentang kemajuan pelajar, dan iklim yang kondusif untuk belajar.  Ternyata, kelima-lima ciri tersebut berhubungan dengan aspek-aspek kepemimpinan dan peranan aspek keguruan.  Selain daripada ini terdapat beberapa orang penyelidik lain seperti Gauthier (1982), Shoemaker (1982) dan Villanova (1984) yang telah mengenal pasti beberapa set dan seterusnya mengembangkan ciri-ciri tersebut seperti persekitaran sekolah yang selamat dan tersusun, misi sekolah yang jelas, kepemimpinan pengajaran, jangkaan yang tinggi, peluang belajar, sering membuat pemantauan ke atas pelajar, dan perhubungan positif antara sekolah dan rumah. 

Purkey dan Smith (1983) pula telah melaksanakan kajian dan mendapati bahawa 13 ciri sekolah berkesan.  Mereka telah membahagikan 13 ciri ini kepada dua struktur.  Struktur pertama terdapat sembilan ciri sekolah berkesan yang berkaitan dengan struktur organisasi, dan struktur kedua terdiri daripada empat ciri yang berkaitan dengan pemboleh ubah proses, yang berhubung kait pula dengan budaya dan iklim sesebuah sekolah.  Purkey dan Smith (1983) melihat struktur organisasi adalah, penekanan kepada pengurusan dan membuat keputusan secara demokratik, kepemimpinan pengajaran yang terbaik diberikan oleh guru besar atau pengetua atau guru-guru lain, kestabilan staf, penekanan kepada kurikulum dan pengajaran, program pembangunan staf di peringkat sekolah, penglibatan dan sokongan ibu bapa, pengiktirafan tentang kejayaan akademik, penggunaan masa yang berkesan, penggunaan lebih masa kepada pelajaran akademik dan kurang kepada aktiviti-aktiviti bukan akademik, sokongan daripada pejabat pendidikan daerah. Manakala pemboleh ubah proses pula dimaksudkan oleh Purkey dan Smith (1983) adalah seperti perancangan kolaboratif dan perhubungan kerja yang baik dan berkesan, perasaan komuniti, matlamat yang jelas dan jangkaan tinggi dan disiplin berdasarkan peraturan yang jelas dan dilaksanakan dengan adil.

Ramai ahli teori barat mengemukakan pandangan mereka tentang sekolah berkesan di sebalik kehadiran variasi jenis sekolah di negara mereka seperti sekolah awam, sekolah terbuka, sekolah “parocial”, sekolah “accelerated”, sekolah alternatif dan sebagainya.  Keadaan ini mewujudkan kelainan dari segi budaya, kurikulum, nilai, cara pengurusan, pendekatan dan prinsip kewujudan.  Apabila teori-teori ini diguna pakai di Malaysia, kita dapat menjangkakan bahawa terdapat persamaan kerana di negara kita juga mempunyai beberapa jenis sekolah seperti sekolah bestari, sekolah wawasan, sekolah kluster, sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta dan sebagainya.  Kewujudan sekolah-sekolah ini telah memberi pilihan kepada ibu bapa yang mampu memberi gambaran bahawa mereka mempunyai harapan yang berbeza. 

Kerangka teori

Mortimore (1995) yang merupakan antara tokoh terkenal dalam membincangkan topik sekolah berkesan. Pandangan beliau telah diguna pakai di negara ini sebagai pandangan yang agak lengkap dan bersesuaian dalam konteks Malaysia.  Institut Aminuddin Baki dalam seminarnya pada tahun 1995 juga mengambil kira pandangan beliau yang telah menggariskan sebelas faktor yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.  Faktor-faktor yang dimaksudkan adalah; amalan kepimpinan yang profesional; mempunyai wawasan dan matlamat bersama; wujudnya persekitaran yang menggalakkan pembelajaran; pengajaran yang bermatlamat; terdapat penghargaan / hasrat yang tinggi; amalan pengukuhan positif; pemantauan kemajuan sekolah; memberi hak dan tanggungjawab kepada murid-murid; wujudnya perkongsian rumah-sekolah; sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran.

Penjelasan teori

Amalan kepimpinan yang profesional 
Amalan kepimpinan yang profesional  bermaksud seorang pemimpin mempunyai wawasan dengan menggerakkan organisasi kepimpinannya secara terancang dan profesional.  Hal ini meliputi gaya pengurusannya, hubungan dengan wawasan, nilai dan matlamat serta pendekatan dalam melakukan proses pelaksanaan perubahan.  Aspek kepimpinan pengetua diambil kira dan tugas mereka adalah sebagai pemimpin teknikal, pemimpin manusia, pemimpin pendidik, pemimpin simbolik, dan pemimpin budaya.   Namun apa yang paling penting adalah peranan mereka sebagai pemimpin pengajaran (instructional leader) yang sentiasa peka dengan tahap kepuasan kerja guru-guru dan sentiasa mengambil kira perkembangan pencapaian pelajarnya.  Mereka sentiasa melakukan pemantauan dari segenap aspek dan melaksanakan penilaian dalaman bagi tujuan penambahbaikan. 

Mempunyai wawasan dan matlamat bersama
Ishak (2004) dalam kajiannya menyatakan bahawa sesebuah sekolah menjadi lebih berkesan apabila sekolah mempunyai satu tujuan yang jelas.  Wawasan atau visi sekolah merupakan suatu gambaran mental tentang apa yang akan dicapai oleh sekolah pada masa depan (Ramlah, 2000).  Pemimpin sekolah berkesan akan mewujudkan suatu visi dan misi yang ideal dan dikongsi melalui persetujuan ahli-ahlinya.  Dalam menentukan visi, kualiti dan keunggulan visi diperbincangkan, diperdebatkan dan diperhalusi oleh semua ahli dan pemimpin agar unsur yang dianggap kurang membina dapat disingkirkan.  Bagi mengukuhkan semangat menuju visi berkenaan, ianya hendaklah ditulis dan dipamerkan agar dapat dibaca dan dihayati pada setiap masa oleh semua warga sekolah.  Dengan itu segala perancangan dan amalan akan menjurus kepada suatu arah matlamat yang jelas dan serupa. 

Wujudnya persekitaran yang menggalakkan pembelajaran.
Bidang utama sekolah adalah memberi pendidikan iaitu melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berterampilan dan berakhlak mulia.  Sharifah (2000) dalam pandangannya menyatakan bahawa persekitaran pembelajaran yang menggalakkan adalah persekitaran yang teratur, dan persekitaran kerja yang menarik.  Dengan wujudnya persekitaran seperti ini suasana pembelajaran akan menjadi lebih kondusif dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.  Pelajar-pelajar akan berasa lebih berpuas hati dengan persekitaran seperti ini dan menjadikan sekolah sebagai tempat yang sesuai untuk menimba ilmu pengetahuan. 

Penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran.
Tujuan utama sekolah adalah menyediakan lokasi yang kondusif untuk pembelajaran dan tugas utama guru adalah menjalankan sesi pengajaran kepada pelajar.  Mohamed Najib (2003) menyatakan bahawa pendidikan melibatkan dua proses iaitu pengajaran sebagai proses memberi pengalaman manakala pembelajaran sebagai proses menerima pengalaman.  Sekolah yang berkesan akan menumpukan ‘core business’ ini dan menjadikan pelajar sebagai produk (outcome) modal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi.  Ada pihak yang menyarankan supaya sekolah lebih khusus dalam matlamatnya iaitu lebih mementingkan perkara asas ‘back to basic’ dan menumpukan perhatian kepada ‘core business’ iaitu mengajar perlu menjadi pegangan mereka (Trisman et al., 1976; Edmonds, 1979).

Pengajaran yang bermatlamat.
Pengajaran yang bermatlamat adalah pengajaran yang jelas tujuannya, mempunyai perancangan yang rapi, pelajaran yang berstruktur dan amalan yang sesuai dengan konteks yang dirancang.  Guru memberikan komitmen dalam menyediakan segala perancangan dan persiapan yang rapi berdasarkan objektif yang ditetapkan manakala pihak pentadbiran sekolah pula bertanggungjawab membantu guru dengan cara menyediakan sukatan kurikulum yang betul dan lengkap agar segala perancangan bersifat terarah dan menepati kehendak stake holder.  Selain itu, pengajaran di bilik darjah yang bukan bersifat akademik pula mempunyai kepentingan dalam membangunkan emosi, sahsiah, perkembangan fizikal dan psikomotor pelajar dengan terancang dan cemerlang.

Terdapat penghargaan /  hasrat yang tinggi.
Pengharapan dan hasrat tinggi sekolah dapat dilihat pada sasaran yang dinyatakan pada visi sekolah.  Harapan yang tinggi bukan sahaja kepada pelajar malah kepada guru dan staf selaku penggerak organisasi dan penyumbang kepada perubahan sekolah.  Pemimpin yang berorientasikan pencapaian akan cuba meletakkan suatu sasaran tinggi dan memberi kepercayaan kepada para guru dan kakitangan melaksanakan misi yang ditetapkan.  Selain itu keutamaan adalah terhadap prestasi akademik yang tinggi dan murid digalakkan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya.  Kejayaan murid pula dibalas dengan penghargaan secara serta-merta dan berterusan.

Amalan pengukuhan positif.
Setiap tindakan positif atau kejayaan ahli-ahlinya diberikan penghargaan yang sewajarnya.  Mortimore (1995) mendapati bahawa pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar.  Walaupun tidak secara keterlaluan ganjaran-ganjaran dan pujian ini adalah penting bagi mengiktiraf pencapaian atau usaha positif mereka.  Keadaan ini dilaksanakan bagi mengukuhkan tingkah laku yang dikehendaki dan menggalakkan individu lain meniru tingkah laku tersebut atau melakukan dengan lebih baik lagi.  Kepuasan kerja akan berlaku apabila sumbangan positif mereka diberi perhatian dan dihargai.

Pemantauan kemajuan sekolah.
Kajian yang dilakukan oleh Mortimore (1995) terhadap sekolah berkesan mendapati bahawa sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara tekal dan bersistematik.  Hasilnya pihak guru, ibu bapa dan pentadbiran dapat melihat sejauh mana matlamat sekolah telah dicapai. Selain daripada kemajuan pelajar, sekolah juga perlu berusaha untuk meningkatkan kompetensi dari segi pengetahuan dan kemahiran guru itu sendiri.  Sekolah yang berkesan juga menggalakkan pelajar, guru dan ibu bapa secara kolaboratif mengambil berat tentang kemajuan dan pencapaian pelajar.

Memberi hak dan tanggungjawab kepada murid-murid.
Dalam mengukuhkan lagi kajian beliau tentang faktor sekolah berkesan, faktor berkaitan dengan penglibatan pelajar dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sekolah juga dianggap penting.  Dengan cara ini sekolah telah menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar melalui tugasan yang bermakna kepada mereka. Pelajar digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Dalam masa yang sama juga sekolah memberikan hak-hak yang sepatutnya diterima oleh pelajar tersebut termasuklah kuasa-kuasa membuat keputusan dengan bimbingan guru-guru berpadanan dengan peranan mereka di sekolah.  Hak-hak lain termasuklah memberi peluang sama rata kepada semua pelajar untuk mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.

Wujudnya perkongsian rumah-sekolah.
Ibu bapa dan guru mempunyai satu matlamat bersama iaitu untuk melihat pencapaian positif pelajar dalam pelajaran.  Dengan cara ini, matlamat untuk membina hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah turut dititik beratkan.  Hubungan ibu bapa dan pelajar tidak terbatas di rumah sahaja malah keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa ini semasa di rumah memberi semangat kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah.  Ibu bapa dan guru dapat mengeratkan hubungan mereka melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru.  Guru-guru juga digalakkan mengunjungi rumah pelajar yang dirasakan bermasalah untuk melihat sendiri keadaan persekitaran pelajar sambil menunjukkan rasa prihatin pihak sekolah kepada mereka.  Pengetua juga boleh mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka yang menggalakkan perkongsian maklumat serta kerjasama sekolah dan ibu bapa.

Sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran.
Mortimore seterusnya menunjukkan bahawa sekolah-sekolah berkesan bukan sahaja menyediakan tempat belajar kepada pelajar malahan juga kepada semua guru dan staf.  Galakkan yang oleh pihak sekolah ini boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung melalui persekitaran sekolah yang kondusif dan program-program tertentu.  Persekitaran sekolah yang kondusif untuk pembelajaran guru adalah apabila banyak maklumat dan bahan yang bersesuaian untuk dibaca oleh guru-guru dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, kompetensi dan profesionalisme diri.  Fungsi perpustakaan dan sudut bacaan bukan sahaja untuk manfaat pelajar tetapi juga guru-guru dan kakitangan yang lain.  Program perkembangan staf pula diadakan dari masa ke semasa mengikut perkembangan dan tuntutan semasa.  Bukan itu sahaja malah guru-guru juga digalakkan menyumbangkan pengetahuan mereka untuk dikongsi bersama menerusi penulisan artikel dan karya akademik lain. 

Sorotan kajian lepas

Mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan sekolah adalah sangat penting bagi melihat sesuatu teori dalam aspek aplikasi.  Ini adalah kerana dengan mengetahui faktor-faktor tersebut, para pentadbir sekolah dapat menentukan sejauh manakah sesuatu keadaan yang berlaku akan memberi kesan terhadap keberkesanan sekolah mereka bagi merancang penambahbaikan sekiranya perlu.  Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebahagian besar rangka rujukan berkaitan sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore didapati sesuai dan relevan dengan struktur dan organisasi sekolah-sekolah formal di Malaysia namun kejituan pandangan beliau masih belum terbukti apabila masih ramai pengkaji yang berjaya membuktikan bahawa ada faktor lain yang perlu diberi perhatian.  

Teddlie dan Reynolds (2000) dalam buku mereka, "The International Handbook of School Effectiveness Research" telah memberi peringatan kepada penyelidik bahawa terdapat faktor-faktor penting lain yang perlu diambil kira dalam mentafsir keberkesanan sekolah.  Salah satu perkara yang perlu diambil kira adalah faktor konteks.  Ia perlu diberi perhatian supaya pentafsiran kita tentang keberkesanan sekolah dapat dibuat secara lebih menyeluruh dan adil.  Sepuluh daripada sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore ialah ciri dalaman sekolah (in-school factors) yang lebih tertumpu kepada proses berbanding konteks.  Ini bermakna hanya satu sahaja ciri yang diperbincangkan oleh beliau iaitu faktor hubungan sekolah-rumah sahaja merupakan ciri luaran sekolah.  Hasilnya penyelidikan keberkesanan sekolah menunjukkan lebih banyak pembolah ubah keberkesanan dijelaskan oleh faktor dalaman sekolah. Justeru itu bagi tujuan pembaikan sekolah kita harus menumpukan tindakan yang lebih ke atas faktor-faktor dalaman berbanding dengan faktor konteks. 

Bagi memenuhi konteks luaran, Ramaiah (1995) berpendapat dalam konteks Malaysia beberapa kriteria pengukuran keberkesanan sekolah harus diterapkan secara berhati-hati kerana ada ciri-ciri tertentu seperti faktor tuisyen persendirian dan konteks lokasi seperti bandar, luar bandar atau pedalaman yang sangat mempengaruhi kriteria keberkesanan sesebuah sekolah terutamanya jika prestasi peperiksaan awam dijadikan ukuran mutlak.  Sebagai pendidik yang profesiona,l kita perlu sedar bahawa faktor perbezaan lokasi sekolah kawasan bandar, luar bandar dan pendalaman sukar dipertikaikan kerana faktor-faktor perbezaan yang kukuh.  Bagaimanapun  Mortimore (1991) memberi definisi sekolah berkesan sebagai "tempat pelajar menunjukkan kemajuan lebih besar daripada yang biasanya diharapkan pada tahap kemasukan awalnya ke sekolah".  Ini bermakna perbezaan prestasi antara sekolah akibat defisit awal ketika kanak-kanak memasuki sekolah juga diambil kira walaupun tiada penekanan tentang itu pada kesebelasan faktor yang beliau sendiri nyatakan. 

Selain daripada faktor pelajar yang dibincangkan tadi, faktor dalaman pemimpin juga telah diberi perhatian oleh beberapa pengkaji.  Faktor dalaman pemimpin ini juga merupakan perkara penting yang menyokong dan melengkapkan dalam menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.  Antara faktor dalaman tersebut ialah faktor efikasi kendiri seorang pengetua atau guru besar.  Efikasi-kendiri didefinisikan sebagai pertimbangan seseorang mengenai kemampuannya mengelola dan melaksana tindakan-tindakan yang perlu untuk mencapai prestasi yang telah ditetapkan. Ia secara tidak langsung tiada kena mengena dengan kemahiran seseorang itu, tetapi ia berkait rapat dengan pertimbangan seseorang itu mengenai apa-apa perkara yang boleh dilakukan dengan kemahiran yang dimilikinya (Bandura,1986).  Kajian yang pernah dijalankan sebelum ini oleh Sazali, Zurida dan Mustapa (2004) telah mendapati bahawa efikasi-kendiri pengetua mempengaruhi efikasi-kendiri kolektif guru-guru seterusnya meningkatkan keberkesanan sekolah.  Faktor ini juga tiada dijelaskan secara langsung oleh beliau walaupun efikasi-kendiri pengetua dilihat mempengaruhi keberkesanan sekolah secara langsung ataupun tidak.  Ini kerana yang dijalankan oleh Goddard (2001) telah menyatakan secara konsisten bahawa pencapaian akademik murid kuat dipengaruhi oleh efikasi kolektif guru. 

Abdul Karim (1989) juga telah menjalankan kajian terhadap empat buah sekolah menengah luar bandar dan beliau mendapati bahawa ada 12 ciri institusi yang membezakan sekolah berkesan dengan sekolah tidak berkesan. Ciri-ciri tersebut ialah kemahiran kepemimpinan pengetua, persepsi peranan pengetua,  pengalaman sebagai pengetua, strategi pembangunan yang digunakan oleh sekolah,  penglibatan ibu bapa, jangkaan guru terhadap pelajar,  sikap guru terhadap pelajar,  pandangan guru terhadap sekolah, disiplin pelajar, penggunaan sumber sekolah, persepsi guru terhadap mandat dan arahan kerajaan, dan kepuasan guru dengan pelajar. Sebahagian dapatan ini mendukung pandangan Mortimore manakala sebahagian aspek lagi tidak secara langsung.  Sementara Rahimah dan Zulkifli (1996) pula menggunakan empat kriteria untuk mengukur iklim sekolah berkesan, antaranya termasuklah, perhubungan interpersonal, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran, dan kemudahan fizikal.  Dapatan daripada kajian ini merealisasikan sekolah berkesan mempunyai iklim sekolah yang positif dari keempat-empat dimensi yang dikaji berbanding dengan sekolah yang tidak berkesan.  Terdapat juga kajian-kajian yang dilakukan untuk membandingkan sekolah berkesan di 27 buah negara berdasarkan beberapa kategori pemboleh ubah (Scheerens dan Boskeer, 1997). Pemboleh ubah tersebut adalah input dan output tersebut adalah melibatkan ibu bapa, saiz kelas dan pendidikan perguruan yang telah dan akan diterima oleh seseorang guru. Sementara pemboleh ubah proses merangkumi kepemimpinan pengetua, penglibatan pengetua, penilaian guru, masalah di sekolah, prosedur penilaian dan fokus kepada kemahiran penyelesaian masalah.  Dalam hubungan yang sama, konteks pemboleh ubah bilik darjah merangkumi masa untuk mengajar, masa untuk bacaan, kerja rumah, strategi pengajaran, penilaian kemajuan dan penilaian keperluan. 

Perbincangan

Setelah meninjau dan mengkaji faktor-faktor yang dinyatakan melalui kajian-kajian tersebut,  kita dapat menyenaraikan faktor tersebut berdasarkan beberapa kategori pemboleh ubah penting.  Ada pengkaji yang melihat aspek keberkesanan sekolah berdasarkan kepada perspektif bidang masing-masing seperti sosiologi, psikologi, dan kognitif dan Mortimore pula merangkumkan beberapa ciri tersebut bagi membantu kita melihat melalui skop yang lebih menyeluruh.  Jika dibandingkan dengan beberapa kajian yang telah dibincangkan tadi maka kita lihat bahawa masih banyak aspek yang ditinggalkan oleh Mortimore.  Namun apa yang hendak diperbincangkan di sini adalah melihat kesesuaian pandangan beliau dengan konteks pendidikan negara ini. 

Pertama kita boleh melihatnya melalui kiblat pendidikan negara iaitu konteks Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Konteks ini adalah paling utama kerana FPK itu sendiri daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis, berlandaskan ideologi negara sebagaimana yang dimanifestasikan dalam laporan dan dasar pendidikan termasuk rukun negara.  Sebagaimana yang disarankan oleh FPK, pembentukan insan secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek menjadi agenda utama pendidikan di Malaysia.  Melalui kewujudan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran dan pengajaran yang bermatlamat maka potensi intelek dapat dikembangkan dengan lebih sempurna. Ia juga seiring dengan aspek FPK yang  memberi fokus kepada melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan dan berketrampilan.  Persekitaran yang sedemikian juga dapat menggalakkan interaksi yang sihat di kalangan warga sekolah di mana hasilnya juga adalah terhadap sahsiah dan sosial pelajar.  Faktor lain seperti amalan pengukuhan positif, penghargaan dan hasrat yang tinggi, memberi hak dan tanggungjawab kepada murid-murid akan memberi impak terhadap emosi dan psikologi pelajar.  Ini seiring dengan matlamat bagi melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan berkeupayaan menikmati keupayaan diri.  Pelajar yang bermotivasi akan lebih terurus dari segi emosinya dan seterusnya memberi kesan terhadap pencapaian pelajaran mereka.  Bagaimanapun tiada faktor yang dikemukakan oleh beliau bagi melengkapkan keberkesanan sekolah dari aspek rohani pelajar iaitu unsur kepercayaan kepada tuhan. 

Perkara kedua, berkaitan dengan kesesuaian peranan sekolah di Malaysia iaitu mewujudkan kesaksamaan peluang pendidikan kepada semua pelajar sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Di sini ternyata bahawa Mortimore masih tidak melupakan aspek sosiologi ini walaupun hanya ada satu sahaja iaitu memberi hak kepada murid-murid yang meliputi hak mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.  Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran telah berusaha mewujudkan peluang ini menerusi perwujudan kelas-kelas seperti pendidikan inklusif, pendidikan khas, kelas pemulihan dan program intervensi kemahiran asas.  Menurut Edmonds (1979) sekolah tidak layak diiktiraf sebagai berkesan jika ia tidak menyamaratakan peluang pendidikan.  Apa yang difokuskan pada aspek ini adalah kesamarataan peluang kepada semua jenis pelajar, dari pelbagai latar belakang sosioekonomi, lokasi dan budaya. 

Perkara ketiga, aspek perpaduan yang sering diambil kira di dalam situasi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama.  Amalan pendidikan di Malaysia telah direka bentuk selaras dengan kepelbagaian ini di mana banyak program yang dirancang seperti program RIMUP, sekolah wawasan dan penggubalan kurikulum berdasarkan ciri-ciri perpaduan.   Mortimore (1986) ternyata kurang peka dengan kepelbagaian ciri negara-negara lain apabila beliau mengabaikan faktor ini sedangkan ia juga adalah perkara penting untuk dinilai bagi menentukan keberkesanan bukan sahaja bagi sesetengah sekolah seperti sekolah wawasan tetapi semua jenis sekolah di negara ini.  Walau bagaimanapun ia boleh ditakrif secara tidak langsung dalam aspek wawasan dan matlamat bersama di mana matlamat pendidikan kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan dikongsi dengan semua ahli.  Ini bermakna kesepakatan dan kesefahaman dalam menuju matlamat perpaduan perlu ada sebelum sesebuah sekolah diiktiraf sebagai berkesan. 

Kesimpulan dan Cadangan

            Unsur kejayaan intelek atau kecemerlangan akademik semata-mata masih belum boleh dijadikan kayu pengukur sebagai faktor bagi menentukan keberkesanan sekolah kerana tugas sekolah di Malaysia adalah komprehensif dan berteraskan Falsafah Pendidikan Negara.  Oleh itu sekolah berkesan dalam konteks Malaysia perlu berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Matlamat Pendidikan Kebangsaan.  Unsur keseimbangan yang harmonis perlu diambil kira dan kewujudan ciri-ciri ini perlu diukur dan dinilai secara lebih objektif.  Selain itu konsep perpaduan yang sekian lama menjadi formula kemakmuran negara Malaysia perlu dipelihara dan unsur ini juga amat perlu bagi menentukan keberkesanan sekolah tanpa mengira sama ada wujud atau tidak kepelbagaian bangsa di sekolah tersebut.  Konsep kesaksamaan peluang pendidikan juga perlu dilihat sebagai unsur penting bagi menentukan keberkesanan sekolah supaya adil kepada semua pelajar tanpa mengira lokasi, latar belakang sosioekonomi, agama, kaum dan jenis pelajar.  Selain itu ciri-ciri yang dipertimbangkan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan sekolah amat penting untuk diketahui umum termasuk para guru dan ibu bapa supaya ia menjadi lebih jelas untuk diperhalusi dan dinilai oleh semua pihak.  Dengan itu diharap agar pihak-pihak yang berminat untuk mengkaji keberkesanan sekolah berlandaskan pandangan Mortimore dalam konteks Malaysia perlu lebih peka dengan keperluan atau tuntutan sosial serta matlamat asal pendidikan negara ini.


No comments:

Post a Comment