Thursday, July 1, 2010

ARTIKEL PENDIDIKAN: Teori Trait Kepimpinan dan Pentadbiran Pendidikan

Oleh: Budiman b Sahali (M.Ed)


Teori-teori awal pada zaman Greek dan Roman merumuskan bahawa pemimpin adalah dilahirkan dan bukannya dihasilkan.  Pendapat ini melihat kepimpinan sebagai suatu yang datang kepada individu ‘terpilih’ dan dapat dilihat melalui penampilan dan personaliti individu tersebut.  Ia merupakan pendekatan yang pernah popular dalam mengkaji kepimpinan seseorang pemimpin iaitu berkaitan trait personaliti pemimpin itu sendiri.  Keterampilan diri sebagaimana yang dicirikan oleh peribadi pemimpin itu sendiri menjadi faktor yang  pernah diutamakan suatu ketika dahulu hingga kini ia tidak boleh diketepikan.  Menurut Zaidatol (2002), walaupun ada kelemahan-kelemahan dalam pendekatan yang menumpukan kepada trait, ia tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana trait memang dapat dilihat dalam diri pemimpin pada hari ini.  Pendekatan trait ini merupakan salah satu usaha saintifik yang paling awal untuk mengkaji kepimpinan dengan memberi fokus kepada trait personaliti dan ciri-ciri pemimpin (Lunenburg, 1995).  Walau bagaimanapun, para pengkaji moden yakin bahawa trait kepimpinan tidak semestinya berlaku secara semula jadi tetapi boleh diperoleh melalui pengalaman dan latihan.  Menurut Lunenburg (1995), terdapat dua kategori kajian yang mengkaji trait kepimpinan ini iaitu: pertama kajian yang cuba membandingkan trait individu yang menjadi pemimpin dengan trait individu yang menjadi pengikut; kedua kajian yang cuba membandingkan antara trait pemimpin berkesan dengan pemimpin tidak berkesan.  Lunenburg & Ornstein (2000) menambah satu lagi kategori iaitu keberkesanan pemimpin dilihat berdasarkan kepada persepsi orang bawahan, penyelia dan penilaian kendiri.

Kajian yang cuba membandingkan trait pemimpin dengan trait pengikut adalah yang paling banyak dikaji.  Walau bagaimanapun kajian-kajian tersebut gagal mendedahkan trait secara konsisten dan jelas perbezaan antara pemimpin dengan pengikut (Lunenburg, 1995).  Trait pemimpin seperti sikap dominan, yakin diri, bertenaga dan berilmu pengetahuan didapati lebih cenderung kepada pemimpin berbanding dengan mereka yang dipimpin.  Namun begitu terdapat ramai individu yang memiliki trait seperti ini walaupun kebanyakan mereka ini bukan seorang pemimpin.  Malahan, kenyataan bahawa kemungkinan bahawa seseorang individu menjadi lebih dominan dan berkeyakinan diri selepas menjadi pemimpin adalah lebih menjurus kepada hasil atau akibat dan bukan sebab atau punca.

Menurut Lunenburg (1995), percubaan untuk mengkaji perbandingan trait pemimpin berkesan dengan pemimpin tidak berkesan adalah lebih berhasil berbanding kajian yang membandingkan trait pemimpin dengan pengikut mereka.  Kajian mendapati ciri-ciri seperti tabah, berkeinginan untuk berjaya, bijaksana, berinisiatif, tegas diri, bertanggungjawab, bertolak ansur dan berkemahiran sosial menunjukkan korelasi positif dengan pemimpin yang berkesan.  Menurut Bass dan Stogdill (1990), hasil kajian juga mendapati korelasi sederhana antara +0.19 hingga +0.34 yang bermakna hanya sekitar 4 hingga 12 peratus daripada varian dalam kepimpinan ini yang boleh dijelaskan oleh trait ini. 

Beberapa kajian oleh Lunenburg dan Ornstein (2000) mendapati beberapa kategori trait pemimpin iaitu:
i)                             Keupayaan (kepintaran, kewaspadaan, kebolehan berbahasa, keaslian dan membuat keputusan).  Kajian menunjukkan bahawa kebiasaannya pemimpin adalah lebih pintar dan fasih berbahasa.  Pemimpin lebih berwaspada dalam menghadapi pelbagai keadaan dan mempunyai tahap keaslian yang lebih tinggi serta pertimbangan membuat keputusan yang lebih baik.
ii)                           Kejayaan (kesarjanaan, pengetahuan am, sukan). Pemimpin biasanya lebih terserlah kesarjanaan berbanding pengikut dan lebih banyak pengetahuannya serta tahu untuk melakukan sesuatu.
iii)                         Tanggungjawab (boleh diharap, inisiatif, berterusan, agresif, keyakinan diri, keinginan untuk berjaya).  Kajian juga menunjukkan bahawa pemimpin juga biasanya lebih rasa bertanggungjawab berbanding dengan pengikut.
iv)                         Penglibatan (aktiviti, bersosial, bekerjasama, dapat menyesuaikan diri dan berjenaka).  Pemimpin lebih banyak melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti berbanding pengikut.  Mereka juga memiliki kemahiran bersosial yang lebih baik, mudah menyesuaikan diri serta lebih mudah memberi kerjasama.
v)                           Status (kedudukan sosioekonomi, populariti).  Pemimpin mempunyai kedudukan sosioekonomi yang lebih baik dan lebih popular berbanding pengikut.  Ini membantu meningkatkan imej mereka sebagai seorang pemimpin. 

Kouzes dan Posner (2002) dalam Ishak Sin (2004) menyenaraikan beberapa trait pemimpin yang paling konsisten dan paling dikehendaki iaitu jujur, kompeten, berwawasan, memberi inspirasi, berani, pintar, adil, berfikiran terbuka, berterus terang, berfikiran tajam, matang, prihatin, bekerjasama, bercita-cita tinggi, boleh dipercayai, menyokong, mempunyai azam yang kuat, boleh mengawal diri, taat dan tidak bergantung pada orang lain. 

Bagi melihat ciri-ciri atau trait personaliti pemimpin yang lebih bersifat universal, diterima sejagat daripada perspektif Islam maka beberapa sifat yang terpuji telah digariskan.  Menurut Ibrahim (1997) dalam Zaidatol dan Soaib (2002), keberkesanan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w dilihat kepada sifat-sifat baginda iaitu:

i)                    Melakukan sesuatu perkara yang telah dicakapkannya.
ii)                  Berpegang dengan prinsip keadilan.
iii)                Menggunakan pendekatan yang tepat untuk menangani masalah.
iv)                Tidak mengadakan benteng pemisah antara pemimpin dengan pengikut.

Sesungguhnya nilai Islam begitu sinonim dengan nilai ketimuran di negara-negara berpemerintahan Islam seperti Malaysia.  Pengetahuan barat dan timur adalah penting dalam menyesuaikan situasi kepimpinan yang berlandaskan nilai sejagat di samping mengekalkan nilai ketimuran terutamanya apabila memimpin institusi yang mulia dan mementingkan nilai seperti di sekolah.  Ibrahim (1997) dalam Zaidatol dan Soaib (2002) menyatakan sifat seperti istiqamah, memelihara diri, bijaksana, tenang, sabar, tidak takbur, tepati janji, adil, tabah dan tawakal kepada Allah perlu dipatuhi bagi seseorang pemimpin.    Menurut Ishak (2004), hasil gabungan penulisan barat dan timur tentang kepimpinan berkesan telah menggariskan beberapa ciri peribadi unggul yang perlu dimiliki oleh pemimpin secara umum.  Merealisasikan perkara ini dan disesuaikan dengan situasi sekolah, seorang pengetua sekolah yang berkesan seharusnya memiliki ciri-ciri peribadi seperti suka kepada murid, suka mengajar, suka kepada ilmu, jujur, tiada niat untuk menjadi kaya, bermotivasi, sabar, sihat tubuh badan, memahami murid adalah harta negara dan yakin bahawa setiap murid boleh didik, amanah, telus, patuh peraturan kewangan, tidak pilih kasih, ikhlas dan suka membangunkan staf.