Monday, June 7, 2010

ARTIKEL PENDIDIKAN: Peranan dan Tanggungjawab Guru Besar




Oleh:  Budiman b Sahali (DPM, B.Ed. (hons), M. Ed.)

Peranan dan Tanggungjawab Guru Besar sebagai Pemimpin di Sekolah.






Secara umumnya kepimpinan dilihat sebagai proses dua hala iaitu tingkah laku pemimpin yang dipengaruhi oleh interaksi dengan kakitangan dan jangkaan kakitangannya (Mohd. Salleh, 2000).  Organisasi masa kini yang mencabar dengan harapan tinggi daripada masyarakat menagih pemimpin sekolah untuk membuat perubahan struktur pengurusan bagi memenuhi banyak tuntutan semasa.  Di sekolah, pemimpin bertanggungjawab terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di kelas tetapi termasuklah segala aktiviti perancangan bermula daripada peringkat pembentukan visi dan matlamat hinggalah penilaian dan penambahbaikan. Guru Besar memikul tanggungjawab bagi memastikan segala aktiviti yang telah dirancang bersama itu dapat dilaksanakan dan berada di dalam kawalannya. Peranannya amat besar dalam memimpin dan mentadbir urus sekolah agar pembelajaran berlaku dengan lancar dan cemerlang.  Ramaiah (1992) menyatakan bahawa pemimpin dalam konteks pendidikan boleh dilihat sebagai seseorang yang diiktiraf oleh seseorang atau lebih, mempunyai pengaruh, wibawa dan mempunyai kuasa sama ada jangka pendek atau panjang dalam situasi tertentu.  Dalam erti kata lain pemimpin ditentukan pemimpin ditentukan oleh peranannya dan bukan semata-mata berdasarkan kedudukannya. 

Dalam memperkatakan tentang kepimpinan sekolah sama ada guru besar atau pengetua maka aspek kompetensi mereka perlu diberi fokus yang utama agar kualiti pendidikan dapat dijamin.  Speck (1999) menyatakan bahawa konsep kepengetuaan kini lebih dinamik, kompleks dan menagih sesuatu yang lebih tinggi.  Antara ciri kepengetuaan yang dicadangkan beliau adalah aspek pendidikan, kepimpinan, pengurusan dan kejiwaan.  Di Malaysia, Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) telah menggariskan dengan jelas sembilan bidang pengurusan dan kepimpinan sekolah yang mesti dikuasai oleh mana-mana pengetua dan guru besar di negara ini (Buku Panduan Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia, 2006).  Sembilan bidang yang dimaksudkan itu: Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi; Pengurusan Kurikulum; Pengurusan Kokurikulum; Pengurusan Hal Ehwal Murid; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Pentadbiran Pejabat; Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal; Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia; dan Pengurusan Perhubungan Luar.  Bidang-bidang ini bukan sahaja perlu diketahui, dikuasai, tetapi diimplementasikan secara meluas dalam tugasan kepimpinan mereka seharian.   Merujuk kepada tugasan-tugasan yang mencabar ini, maka merupakan satu keperluan bagi mereka memiliki daya kepimpinan yang baik sebagaimana Amanat Menteri Pendidikan (2001) menyatakan bahawa dalam banyak kes, kecemerlangan sesebuah sekolah baik dari segi prestasi akademik mahupun kejayaan dalam kokurikulum amat bergantung pada daya kepimpinan guru besar atau pengetuanya. 

Foo dan Zaidatol (2003) telah mencadangkan enam kumpulan kompetensi yang difikirkan sesuai diamalkan oleh pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah iaitu kepimpinan pengajaran, perancangan dan akauntabiliti, hubungan manusia, kepimpinan politik, keberkesanan diri, kepimpinan budaya dan etika.  Jika dilihat pada keenam-enam aspek ini maka ia adalah penting bagi melengkapkan seseorang guru besar sebagai pemimpin organisasi pendidikan yang memenuhi kehendak budaya, norma masyarakat dan falsafah pendidikan.  Dalam mengupas aspek pertama iaitu kepimpinan pengajaran, kepimpinan di sekolah dilihat bukan sahaja bertujuan untuk menggerakkan segala potensi yang ada di sekolah bagi mencapai matlamat yang ditetapkan malahan ia memerlukan satu upaya yang khusus bagi menjadikan sekolah sebagai tempat berlakunya pengajaran yang berkesan.  Pemimpin sekolah perlu bertindak sebagai ketua dan pentadbir yang mampu menggalakkan suasana pengajaran yang berkualiti bagi meningkatkan kadar pemindahan ilmu di kalangan warganya terutamanya kepada pelajar.  Mohd Salleh (2000) menyatakan bahawa guru besar dan pengetua dianggap orang yang mengetuai dalam kepimpinan pengajaran walaupun tugas mereka tidak banyak bertumpu kepada aspek pengajaran namun ia bertanggungjawab menentukan maju mundurnya tahap pencapaian di kalangan pelajar.  Oleh itu satu bentuk kepimpinan yang mampu memenuhi ciri tersebut perlu digunakan dan diperluaskan terutama kepada pengetua dan guru besar selaku pemimpin barisan utama dan guru-guru selaku pemimpin bilik darjah.  Kepimpinan pengajaran yang dimaksudkan adalah memberi rangsangan kepada guru dan komuniti untuk menyumbang idea dalam proses pembentukan visi sekolah.  Selain itu pemimpin juga perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran pedagogi agar dapat memimpin pengajaran dengan lebih berkesan.  Pemimpin pengajaran yang baik juga memupuk kepimpinan bersama dan melaksanakan proses perubahan yang berkesan melalui penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan hubungan yang efektif antara sekolah dengan komuniti. 

Hussein (1989) mendefinisikan kepimpinan pengajaran sebagai usaha-usaha yang diambil oleh pemimpin sekolah untuk menyediakan inovasi kurikulum dan untuk memperkembangkan proses pengajaran dan pembelajaran dengan tujuan menjayakan matlamat sekolah.  Dalam erti kata lain, kepimpinan pengajaran didefinisikan sebagai pemimpin sekolah yang mengambil peduli terhadap pengajaran guru dan pembelajaran murid serta perkembangannya dan sentiasa membina suasana pembelajaran di sekolahnya.  Ini bermaksud kepimpinan pengajaran mengukuhkan kebolehan guru-guru mengajar di samping membantu, mengerakkan perubahan termasuk guru mengatasi masalah ketidaktentuan dan rasa tidak selamat. Ia juga merujuk kepada pengetua dan guru besar yang memainkan peranan secara aktif dan berkesan dengan perancangan perkara-perkara yang dipelajari oleh pelajar dalam bilik darjah, penyeliaan terhadap kaedah dan cara guru mengajar, penyeliaan bahan pengajaran, pelaksanaan program pembangunan staf untuk meningkatkan profesionalisme guru serta pembinaan pelaksanaan penilaian terhadap kemajuan pelajaran.  Keefe dan Jenkins (1984) mendefinisikan kepimpinan pengajaran sebagai peranan pengetua dalam memberi arah, sumber dan sokongan kepada guru dan pelajar untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  De Bevoise (1984) dalam Mohd Salleh (2000) mendefinisikan kepimpinan pengajaran sebagai meliputi tindakan-tindakan pengetua untuk menggalakkan pertumbuhan pembelajaran pelajar. 

Clark (1977) dalam Zaidatol Akmaliah (2002) telah merumuskan peranan kepimpinan pendidikan bertumpu kepada beberapa perkara iaitu:
i.                            Menggubal dan menjelaskan falsafah, matlamat dan polisi organisasi.  Pentadbir sekolah bertanggungjawab dalam memberi ruang kepada guru dan kakitangan untuk memahami dan menghayati apa yang dicita-citakan oleh pihak pentadbiran agar ia dapat memberi motivasi kepada mereka untuk bersama-sama bekerja dalam satu pasukan berteraskan satu matlamat yang sama. 
ii.                          Pemimpin membentuk struktur formal dan tidak formal dalam menggunakan sumber-sumber manusia dan lain-lain dengan cekap, penyerahan autoriti dan perkongsian tanggungjawab.  Ini menunjukkan bahawa pengetua dan guru besar memberi kepercayaan terhadap subordinat untuk membantu mereka melaksanakan tugas disertakan sebahagian kuasa untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lancar dan berkesan. 
iii.                        Merancang untuk membuat jangkaan dan menyesuaikan perubahan-perubahan dalam matlamat dan polisi.  Pengetua dan guru besar membuat satu perancangan berdasarkan data awal dan kemampuan untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta bersedia menghadapi sebarang cabaran serta kemungkinan pada masa akan datang. 
iv.                        Mengekalkan komunikasi yang berkesan antara individu di dalam dan di luar organisasi.  Persekitaran sekolah yang mempunyai kepelbagaian budaya antara guru-guru, pelajar dan pihak luar mementingkan komunikasi yang baik demi menjamin keharmonian dan kejayaan objektif atau sub-matlamat yang diinginkan. 
v.                          Menggubal polisi yang meluas tentang prosedur dan kandungan program.  Pemimpin instruksional bertindak memberi ruang kepada semua ahlinya memahami dan mematuhi segala prosedur berlandaskan polisi yang dicanangkan secara berdokumentasi dan diterima dengan baik oleh semua pihak. 
vi.                        Penyediaan polisi yang meluas tentang keperluan personal, kecekapan standard kakitangan, polisi latihan, gaji dan lain-lain.  Dengan cara ini semua kakitangan dapat merancang haluan kerjaya dengan lebih baik dan meningkatkan kompetensi dan profesionalisme.  Cara ini akan membantu organisasi menyediakan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan bermotivasi tinggi.
vii.                      Pemimpin mendapatkan sumber-sumber kewangan dan menjelaskan polisi penggunaan dan perbelanjaan wang.  Ini kerana kewangan merupakan suatu aspek yang penting dalam memastikan sekolah mencapai kesempurnaan dari segi material dan sebahagian aktiviti yang memerlukan tenaga luar organisasi yang perlu digerakkan dengan bantuan kewangan.
viii.                    Pemimpin perlu menilai prestasi setiap yang dilaksanakan sama ada berjaya mencapai objektif atau sebaliknya.  Penilaian ini adalah asas kepada sebarang tindakan susulan dan diperbincangkan bersama kakitangan sama ada perlunya penambahbaikan atau perlu kepada perubahan baru.  Penilaian boleh dilaksanakan sama ada secara objektif, subjektif , kuantitatif ataupun kualitatif.
ix.                        Mewujudkan proses kawalan mutu iaitu dengan mewujudkan suatu jawatankuasa penilai mutu berdasarkan keperluan semasa.  Selain daripada jawatankuasa khas, mekanisme lain juga boleh digunakan seperti soal selidik dan tinjauan.  Dari segi proses pula kawalan mutu dilaksanakan pada setiap langkah aktiviti berdasarkan beberapa petunjuk dalam key performance indicator (KPI).

Pada aspek perancangan pula Zainal Abidin (1999) dalam Foo dan Zaidatol (2003) mentakrif istilah perancangan dalam pendidikan sebagai satu proses untuk menggunakan sumber-sumber yang diperoleh dengan cara berekonomi dan cekap agar matlamat organisasi tercapai.  Kebolehan guru besar merancang merupakan suatu kelebihan dari segi ekonomi dan memberi impak kepada kewangan organisasi tanpa pembaziran dari segi kewangan, tenaga dan masa.  Menurut Lunenburg (1995), perancangan didefinisikan di mana organisasi ingin berada pada masa hadapan dan bagaimana untuk mencapainya.  Selaku pemimpin, guru besar harus merancang dan mempunyai matlamat yang berdasarkan hala tuju organisasi, sub-unit,  dan ahli-ahlinya.  Perancangan yang baik akan memberi panduan kepada ahli organisasi tentang apa arah dan hala tuju organisasi, jenis tugasan yang perlu dilaksanakan oleh mereka dan menjelaskan perkaitan aktiviti tugasan mereka dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi secara menyeluruh.  Berdasarkan perancangan yang baik juga sesebuah organisasi dapat dibandingkan hasil yang sepatutnya diperoleh dengan apa yang sebenarnya dicapai agar sebarang program penambahbaikan yang perlu dapat dilaksanakan.  Selain dari merancang, akauntabiliti juga penting dipelihara secara profesional oleh pemimpin di sekolah.  Menurut Rothman (1995) dalam Foo dan Zaidatol (2003), akauntabiliti dalam pendidikan ditakrif sebagai proses yang pihak daerah sekolah (school districts) dan negeri cuba memastikan sekolah ataupun sistem sekolah mencapai matlamat mereka.  Sistem akauntabiliti yang lengkap seharusnya mempunyai maklumat prestasi, piawai pengukuran kualiti atau darjah kejayaan, kesan ganjaran atau hukuman dan kewujudan agen menerima mengenai prestasi organisasi bagi melakukan penilaian terhadap kadar kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. 

Peranan kepimpinan seterusnya yang ditekankan adalah membina hubungan yang berkualiti antara setiap individu dalam organisasi yang ditadbir.  Menurut Zaidatol (2003), gelombang kedua reformasi pendidikan telah memberi tumpuan khusus kepada aspek hubungan manusia.  Aspek hubungan manusia pula dilihat sebagai satu usaha pemimpin dalam  melibatkan semua ahli termasuk kakitangan pentadbiran, staf bawahan, pelanggan dan masyarakat untuk menerima dan seterusnya membantu organisasi mencapai hasrat dalam pentadbirannya.  Bagi membolehkan guru besar bekerja bersama-sama staf mereka dalam suasana yang harmonis maka hubungan mereka dengan guru-guru dan kakitangan harus berada dalam keadaan yang baik.  Untuk meningkatkan hubungan manusia yang lebih baik maka beberapa perkara perlu diambil kira oleh pemimpin di sekolah. 

Zaidatol (2003) mencadangkan beberapa tumpuan untuk menjadikan pengetua / guru besar yang berkesan dalam aspek hubungan manusia iaitu yang pertama ialah berkomunikasi secara berkesan dengan guru, pelajar, ibu bapa dan ahli komuniti.  Komunikasi ini mempunyai peranan sebagai pemindahan atau penyebaran maklumat daripada sumber kepada penerima (Mohd Salleh, 2000).  Komunikasi yang berkesan membantu meningkatkan kualiti hubungan antara pemimpin organisasi dengan ahli di dalam dan di sekitarnya.  Clark (1977) dalam Zaidatol (2002) juga turut merumuskan bahawa antara peranan pentadbiran adalah bertumpu kepada mengekalkan komunikasi berkesan antara individu dalam organisasi dan juga di luar organisasi. 

Perkara kedua adalah menguruskan konflik secara profesional dengan harapan untuk mencapai senario menang-menang.  Dalam isu-isu yang melibatkan konflik sama ada pihak pentadbir dengan kakitangan, sesama staf atau dengan pihak luar maka guru besar perlu menangani secara adil dan bijak agar semua pihak tidak merasa tertindas dan kecewa. 

Perkara ketiga adalah menggalakkan semangat berpasukan dan proses membuat keputusan secara kolaboratif.  Menurut Eagly dan Johnson (1990) dalam Pierce & Newstrom (2006), dalam kepimpinan demokratik di mana membuat keputusan secara kolaboratif bukan sahaja suatu cadangan yang berkesan kepada subordinat tetapi juga mengekalkan hubungan yang baik setiap kali cadangan mereka dinilai walaupun ada kalanya idea mereka ditolak. 

Perkara terakhir dalam aspek ini adalah menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk guru , pelajar dan ibu bapa.  Ungkapan kaunseling adalah termasuk semua jenis menolong dengan individu merangkumi segala usaha perkembangan, sokongan kepada krisis, psikoterapi, bimbingan, dan penyelesaian masalah (Lili Mastura dan Mohd Fadhil, 2004).  Dengan adanya perkhidmatan kaunseling ini, pemimpin telah menjalankan satu lagi usaha meningkatkan kualiti hubungan manusia dalam organisasi melalui kaedah psikologi, menyedarkan ahli tentang tindakkan yang tidak rasional yang mampu merosakkan hubungan, membimbing dan membantu menyelesaikan konflik antara individu secara profesional dan beretika.

Dalam konteks sekolah yang melibatkan kepimpinan guru besar, aspek kepimpinan politik pula agak kurang lazim dibicarakan walaupun ia merupakan sebahagian daripada komponen kompetensi seseorang pemimpin pendidikan.  Walau bagaimanapun ia sesuatu yang tidak harus diabaikan kerana aspek ini merupakan sesuatu yang dapat membantu para pengetua dan guru besar dalam mentadbir sekolah dengan lebih berkesan.  Tidak semua tindakkan yang dilakukan oleh seseorang sama ada ahli organisasi atau anggota luar organisasi yang bertujuan memberi manfaat dan jujur.  Oleh itu pengetua dan guru besar sepatutnya peka terhadap sebarang tindak tanduk pihak-pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersirat yang mungkin akan menimbulkan konflik pada organisasi di bawah pentadbiran mereka. 

Menurut Cunningham dan Cordeiro (2000) dalam Foo dan Zaidatol (2003) ada pihak tertentu yang menggunakan tekanan, perundangan dan tindakkan politik untuk membuat keputusan.  Dalam keadaan yang sedemikian, pemimpin pendidikan akan berdepan dengan pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, guru, keluarga dan masyarakat yang lazimnya mempunyai agenda tersendiri.  Oleh yang demikian adalah wajar bagi pengetua dan guru besar mendapatkan kumpulan atau individu berpengaruh untuk tujuan sokongan terhadap pencapaian matlamat dan objektif sekolah.  Menurut Foo dan Zaidatol (2003) peraturan sekolah dengan polisi Kementerian Pendidikan Malaysia, JPN dan PPD juga perlu diselaraskan agar tiada percanggahan manakala semua ahli dalam komuniti perlu dilibatkan dalam proses membuat keputusan. 

Aspek keberkesanan diri pula merupakan kompetensi yang dapat dinilai melalui trait atau ciri yang ada pada seseorang pemimpin.  Menurut Zaidatol (2003) bagi memenuhi keperluan aspek kompetensi ini, mereka seharusnya sentiasa mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sendiri dengan memahami teori-teori kepimpinan, melakukan refleksi terhadap apa yang telah dilaksanakan, menetapkan matlamat-matlamat untuk kemajuan profesional, memanfaatkan penggunaan teknologi terkini termasuk ICT dan melakukan penilaian secara bijaksana apabila berhadapan dengan masalah dan isu kompleks.  Aspek kemahiran pengurusan turut diberi perhatian untuk meningkatkan keberkesanan diri.  Bennis (1974) menyatakan bahawa terdapat empat kompetensi utama untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan dengan mempraktikkan kemahiran kemanusiaan iaitu pengurusan perhatian, pengurusan makna, pengurusan kepercayaan dan pengurusan diri. 

Aspek terakhir adalah berkaitan kepimpinan budaya dan etika yang dikatakan sebagai merentasi semua komponen yang lain.  Menurut Bennis (1974), faktor-faktor utama dalam kepimpinan transformasional ialah visi, tujuan, kepercayaan dan aspek-aspek lain yang dimanifestasikan oleh budaya organisasi.  Kepimpinan budaya dan etika dapat dipupuk melalui iklim yang positif seperti persekitaran sekolah yang positif, inklusif dan menyokong, menggalakkan budaya pembelajaran dan menyediakan peluang dan rangsangan untuk semua warga sekolah serta ahli-ahlinya, dan menggalakkan tingkah laku beretika.