Friday, May 7, 2010

BICARA UMUM: Metafora Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP)



Maksud gambar di atas:  Jika anda menunggu jawatan KUP anda dihakikikan mungkin sehingga anda berjanggut atau kerusi yang anda duduki tumbuh pokok. Hehehe..ni negara lain la.. bukan Malaysia.


    Walaupun sedang menjawat jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) namun masih ramai yang tidak memahami apakah sebenarnya jawatan tersebut dan apakah perbezaan dengan jawatan hakiki.  Bagi menjelaskan pengertian KUP ini saya mengibaratkan jawatan hakiki sebagai kerusi dan penjawat jawatan tersebut adalah seseorang yang dilantik secara hakiki selaras dengan gred kerusi tersebut.  Contohnya kerusi DG34 seperti guru besar sekolah gred B dijawat oleh pegawai DG34 dan ia adalah jawatan hakiki yang dijawat oleh penjawat hakiki.  Jika guru besar tadi telah tamat pengajian peringkat ijazah dan dilantik ke jawatan DG41, maka sekiranya beliau masih kekal di jawatannya tadi maka ia dinamakan sebagai DG41(KUP).  Ini kerana kerusi jawatan guru besar yang disandangnya adalah khusus untuk DG34 tetapi beliau masih menduduki kerusi tersebut walaupun gred jawatannya kini adalah DG41. 

    Begitu juga jawatan kenaikan pangkat time-based seperti DG32 dan DG44 bagi mereka yang telah layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan seperti guru-guru penolong biasa.  Apabila seseorang guru dinaikkan pangkat secara time-based, maka mereka tidak dilantik sebagai pentadbir seperti guru penolong kanan atau guru besar sebaliknya tetap menjalankan tugas guru biasa.  Ini bermakna kerusi yang mereka duduki adalah kerusi yang sepatutnya untuk gred DG29/41 tetapi mereka mendudukinya kerana kenaikkan pangkat mereka adalah berdasarkan time-based. 

    Kesimpulannya jawatan KUP adalah apabila seseorang yang bergred jawatan lebih tinggi menduduki jawatan yang sepatutnya disandang oleh penjawat hakiki yang grednya lebih rendah.  Ia adalah keadaan di mana seseorang penjawat awam dapat menikmati kenaikkan gred tanpa meninggalkan jawatan asal.

Renung-Renungkan:  Jawatan dan pangkat bukanlah anugerah tetapi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul didunia dan dijawab di akhirat.